Remaja cetek ilmu mengenai seks

RAMAI sakit hati dan mengeluh sedih membaca kisah bayi lelaki yang dibuang di tempat sampah sehingga kepalanya dikerumuni ulat. Sakit hati mengenangkan kekejaman si durjana yang tidak berhati perut dan sedih kerana ramai berusaha sehingga habis berpuluh ribu ringgit tetapi masih tidak berjaya mendapatkan anak.

Apalah dosanya hingga si kecil itu diperlakukan sedemikian. Tidak kira apa pun alasannya, yang nyata kehadiran anak ini sebenarnya tidak dikehendaki sehingga menyebabkan si ibu tergamak membuang darah daging sendiri ke longgokan sampah busuk berulat.

Jika dihitung, ada banyak lagi kes menyayat hati. Inilah sebahagian daripada kesan hubungan seks haram, terutama di kalangan remaja yang panik apabila menyedari mereka mengandung. Lantaran itu, pelbagai kes pembuangan bayi berlaku yang secara tidak langsung menjurus kepada pembunuhan anak sendiri.

Rata-rata remaja terlanjur ini mengakui mereka melakukannya atas dasar cinta. Namun sejatikah cinta jika hanya berlandaskan keinginan nafsu? Sejauh manakah dalamnya cinta lelaki itu jika dia hanya mahukan tubuh kekasihnya?

Ramai tidak menyedari atau cuba tutup mata terhadap hakikat bahawa cinta sejati seharusnya dibina atas landasan agama dan direstui ibu bapa.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Rasliza Ramli, berkata walaupun dibanjiri pelbagai maklumat, masih ada remaja yang cetek pengetahuan mengenai seks, termasuk kemungkinan mengandung selepas mengadakan hubungan seks, walaupun baru mencecah awal belasan tahun.

Katanya, hubungan seks yang dilakukan selepas umur akil baligh (haid) iaitu antara 10 hingga 12 tahun boleh menyebabkan seseorang remaja itu hamil.

Namun, biasanya pada dua hingga tiga tahun pertama selepas akil baligh, seseorang remaja perempuan masih belum subur kerana penghasilan hormon dalam badan belum mencapai tahap optimum bagi penghasilan telur.

“Di sinilah pentingnya pendidikan seks di sekolah supaya remaja lebih faham mengenai biologi diri mereka dan implikasi hubungan seks yang secara tidak langsung boleh mengelakkan mereka terjebak dengan gejala hubungan seks di luar perkahwinan.

“Malangnya, masih ada remaja berumur 18 atau 19 tahun tidak tahu mereka boleh mengandung selepas melakukan hubungan seks. Malah, mereka juga tidak risau jika tidak datang haid selepas ‘bersama’ dengan pasangan. Hubungan seks haram ini menjadi punca pelbagai masalah berkaitan seperti kehamilan tidak dikehendaki, pengguguran, pembuangan dan pembunuhan bayi,” katanya.

Malah, hubungan seks yang bermula pada usia muda meningkatkan risiko remaja terdedah kepada jangkitan penyakit kelamin seperti HIV/Aids, sifilis, gonorea atau herpes yang sesetengahnya tidak menunjukkan sebarang gejala hinggalah ia menyebabkan jangkitan pelvik kronik.

Antara jangkitan paling kerap berlaku ialah Chlamydia trachomatis yang hidup dalam sel manusia. Sebaik masuk ke badan manusia melalui hubungan seks, bakteria ini menjangkiti organ rahim dan kawasan persekitarannya.

Masalahnya, jangkitan chlamydia biasanya bersifat asimptomatik iaitu tiada gejala. Jika ada pun, gejalanya amat sedikit dan biasanya hanya untuk beberapa hari. Ini sebabnya ramai tidak sedar mereka dijangkiti hinggalah beberapa tahun kemudian apabila ia menjadi lebih serius.

Jangkitan bakteria ini boleh merosakkan sistem reproduktif yang mengakibatkan kandungan di luar rahim atau tidak boleh mengandung langsung.

Malah, pada peringkat lebih serius, jangkitan virus human papilloma (HPV) juga boleh menyebabkan kanser pangkal rahim. Ia berbeza dengan gonorea atau sifilis yang mempunyai banyak tanda jangkitan dan biasanya pesakit cepat mendapatkan rawatan.

Walaupun secara umumnya pengguguran hanya dibenarkan jika kandungan boleh mengancam kesihatan fizikal dan mental si ibu, ramai juga menjalankan pengguguran haram. Ada beberapa risiko sampingan seperti jangkitan ketika pengguguran akibat penggunaan peralatan kurang steril (terutama jika dijalankan di klinik kecil), pendarahan dan komplikasi uterus bocor jika proses pencucian rahim (D&C) tidak dilakukan dengan berhati-hati.

Selain itu, D&C yang keterlaluan boleh menyebabkan rahim berparut atau dinding rahim melekat sesama sendiri dipanggil Sindrom Ashermann. Akibatnya, pembentukan lapisan endometrium bagi kitaran haid tidak berlaku dan remaja berkenaan juga tidak akan mendapat haid (amenorea). Ini menyebabkan individu terbabit tidak boleh mengandung lagi.

Tidak kurang juga remaja mengalami tekanan emosi, terutama selepas ditinggalkan teman lelaki, dirogol atau lebih teruk dibuang keluarga sendiri yang malu dengan kelakuan mereka. Namun dalam keadaan ini remaja ini memerlukan sokongan keluarga untuk membimbing mereka ke pangkal jalan.

Menghantar mereka ke pusat pemulihan yang menyediakan bimbingan agama juga antara langkah yang boleh diambil supaya mereka tidak kembali terjerumus ke lembah maksiat.

Dalam menangani masalah seksual remaja, ibu bapa mesti memainkan fungsi penting dengan menimba pengetahuan untuk dikongsi bersama anak.

Pelbagai perkara boleh dibincangkan bersama iaitu kejadian janin, penyakit kelamin (kerana sejarah kesihatan pasangan tidak diketahui) dan cara mengurangkan risiko jangkitan serta kaedah pencegahan kehamilan.

“Namun cara paling selamat ialah tidak mengadakan hubungan seks sebelum perkahwinan. Sayangi diri dan keluarga. Jangan korbankan masa depan kita kerana cinta pada lelaki. Ketahuilah, lelaki yang baik akan menjaga kehormatan anda hingga diijabkabulkan,” katanya.


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN , Harian Metro

0 comments:

Post a Comment