Pengenalan Ilmu Falak Syar'ie / Astronomi

Ilmu Falak atau astronomi - dalam bahasa Inggerisnya astronomy - adalah satu cabang ilmu sains tabie yang mengkaji tentang perjalanan badan-badan cakerawala seperti bumi, bulan, matahari dan bintang-bintang. Perkataan cakerawala itu sendiri bermakna 'sesuatu badan yang berputar'. Manakala perkataan astronomi pula berasal dari bahasa Yunani. 'Astro' bererti sesuatu yang berkaitan dengan bintang dan 'nomy' pula ialah ilmu. Oleh itu Ilmu Falak juga dikenali sebagai Ilmu Kaji Bintang.

Dalam Al Quran, perkataan Falak digunakan bertujuan untuk menunjukkan sesuatu benda langit yang beredar. Ini berdasarkan firman Allah S.w.t dalam Al Quran yang maksudnya;

"Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan, dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarannya." (Surah Yaasin : Ayat 40)

Dan firman Allah dalam Surah Al Anbiyaa;'

"Dan Dialah (Allah) yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan, masing-masing dari keduanya itu beredar di garisan peredarannya." (Surah Al Anbiyaa' : Ayat 33)

Pengetahuan tentang definisi Ilmu Falak adalah penting kerana terdapat satu lagi aspek kajian yang digunakan untuk meramal masa depan dan untung nasib seseorang. Bidang ilmu yang menyeleweng dari syariat Islam ini dikenali sebagai 'Astrologi' atau Ilmu Nujum.

Beberapa orang cendikiawan Islam ada mendefinisikan Ilmu Falak bersesuaian dengan bidang kajian mereka. Di antaranya;

- Menurut Al Biruni dalam kitabnya Kanun Al-Mas'udi, falak ialah 'sesuatu yang saling bertukaran' atau beliau menggunakannya untuk kajian terhadap 'globe' (kura) yang bergerak (mutaharrik).

- Ikhwan As Shafa dalam bukunya 'Rasaa'ilu Ikhwan As Shafa' memberikan definisi ilmu Falak sebagai ilmu yang mengkaji tentang tata suria, menghitung jumlah bintang, mengukur pembahagian gugusan bintang, jarak, saiz dan pergerakan badan-badan cakerawala serta mengetahui segala sesuatu yang berhubungan dengannya.

- Ibnu Khaldun dalam kitab 'Muqaddimah' mendefinisikan Ilmu Falak sebagai ilmu yang mempelajari tentang pergerakan bintang tetap, sama ada yang bergerak atau yang berpusing. Gerakan-gerakan tersebut boleh diketahui melalui cerapan atau hitungan. Ilmu perhitungan pula hendaklah berdasarkan kepada pengetahuan tentang ciri-ciri pergerakan dan kedudukannya.

Seperti bidang-bidang ilmu sains lain, sekiranya ia digunakan untuk menyekutukan Allah S.w.t atau sesuatu yang boleh membawa ke arah itu, maka ilmu berkenaan menjadi haram. Menurut Al Khitabi, ilmu falak yang dilarang adalah ilmu yang dilakukan oleh ahli-ahli perbintangan untuk meramalkan kejadian dan peristiwa-peristiwa yang belum terjadi di alam rendah.

Dalam kajian Astronomi moden, bidang ini sudah bercambah kepada banyak bahagian, antaranya ialah ilmu pelayaran, pemetaan, pengukuran, astro fizik, aero nautikal, kaji cuaca dan falak Syar'ie. Astro fizik termasuklah kajian-kajian angkasa bagi mendapatkan sumber tenaga, kajian maklumat fizikal dan kimia serta kajian tentang asteroid, kluster, komet, galaksi, nebula, pulsar, lubang hitam dan pengembaraan angkasa lepas.

Ilmu Falak Syar'ie pula ialah suatu penggunaan kaedah-kaedah falak serta segala maklumat yang boleh diperolehi dari ilmu ini untuk tujuan beribadat kepada Allah S.w.t atau mengaitkannya dengan keesaan Allah S.w.t. Wallahu a'lam.


Di petik dari hasil tulisan En Baharuddin Zainal.

0 comments:

Post a Comment