Penentuan arah kiblat

Terdapat pelbagai kaedah untuk menentukan arah kiblat, bergantung kepada maksud dan keperluan mengetahui arah kiblat itu sendiri.

Keperluan mengetahui arah kiblat boleh dibahagikan kepada beberapa tahap:

1. Mendirikan masjid.
2. Mendirikan surau.
3. Menandakan arah kiblat premis sedia ada (termasuk surau).
4. Menandakan arah kiblat di premis persendirian (rumah persendirian).
5. Mendapatkan arah kiblat semasa dalam musafir, perkhemahan dan sebagainya untuk melakukan solat.

Mendirikan Masjid

Di Malaysia, pihak yang bertanggungjawab adalah Jabatan Mufti negeri, atau Jabatan Hal Ehwal Agama. Pihak berkuasa akan memastikan kesahihan arah kiblat sebelum pembinaan diteruskan.

Mendirikan Surau

Bangunan surau persendirian biasanya di luar kawalan, dan terpulang kepada pemilik atau pembinanya untuk memastikan ketepatan arahnya. Justeru lebih kerap berlaku selisih arah pada surau berbanding masjid.

Premis Sedia Ada

Biasanya melibatkan bangunan yang baru didirikan (termasuk hotel), dan salah satu bilik atau ruangan dikhaskan untuk dijadikan surau. Biasanya tenaga Jabatan Ukur atau Jabatan Agama digunakan untuk menentukan arah kiblat bagi premis sedemikian. Juruukur swasta juga setengahnya mampu melakukan tugas tersebut.

Premis Persendirian, Musafir dan Aktiviti Perkhemahan

Keperluan mendapatkan arah kiblat hanya mendesak ketika tibanya waktu solat. Ketika ini pengetahuan individu memainkan peranan penting, untuk kesahihan arah kiblat.

Kaedah Menentukan Arah Kiblat

Menggunakan peralatan ukur, memerlukan belanja dan kemahiran yang cukup untuk memastikan ketepatan yang tinggi. Bagi orang awam, dan premis persendirian, serta aktiviti perkhemahan misalnya, tidak perlu sehingga mendapatkan bantuan alatan ukur untuk mendapatkan arah kiblat. Memadai dengan menggunakan kaedah alternatif yang lain, seperti berikut;

1. Menggunakan Buruj Bintang

Buruj bintang tertentu yang boleh dan sesuai menjadi penunjuk arah, membolehkan pemerhatinya menganggarkan arah kiblat berdasarkan kedudukan bintang/buruj berkenaan. Contohnya, buruj Biduk (Ursa Major) menjadi petunjuk arah utara. Dengan pengetahuan bahawa arah kiblat bagi malaysia adalah anggaran 68 darjah ke barat dari buruj tersebut, anggaran arah kiblat dapat dibuat.

2. Menggunakan arah matahari

Sedikit pengetahuan mengenai arah matahari (yang juga boleh diperolehi menggunakan sofwer sun compass), anggaran arah mata angin, dan seterusnya arah kiblat dapat dibuat. Termasuk juga adalah kedudukan matahari di atas kaabah 2 kali setahun pada 28 Mei dan 16 Julai.

3. Menggunakan pelan tanah

Penggunaan pelan tanah untuk menentukan arah kiblat adalah perkara biasa dalam kerja ukur tanah dan kiblat masjid. Namun ia juga boleh digunakan menggunakan sedikit konsep geometri, maklumat pada pelan tanah dan pelan rumah adalah mencukupi untuk mendapatkan arah kiblat bagi premis persendirian, dengan tahap kejituan yang memadai.

4. Petunjuk arah dan mata angin yang lain

Terdapat kaedah-kaedah lain yang sesekali disebut di kalangan kita, yang sebahagiannya adalah memadai dan boleh digunakan untuk berijtihad menentukan arah kiblat.

Menggunakan Buruj-Buruj Bintang

Buruj bintang yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan arah kiblat ialah buruj Orion (Al-Babadur). Tiga bintang berderetan dalam buruj ini iaitu Mintaka (δ Orionis), al-Nilam (ε Orionis) dan al-Nitak (ξ Orionis) boleh digunakan sebagai panduan arah kiblat. Buruj Orionakan berada di langit Malaysia ketika waktu Subuh pada bulan Julai dan kelihatan tinggi di langit pada waktu tengah malam pada bulan Disember. Pada bulan Mac dan mana yang berhampiran dengannya, buruj Orion akan berada di tengah-tengah langit ketika waktu maghrib. Arah kiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan arah bintang tiga berderet berkenaan ke arah barat, lihat Rajah di bawah;

Selain daripada buruj Orion (Belantik), arah kiblat juga boleh ditentukan dari arah utara dan selatan yang ditunjukkan oleh beberapa buruj bintang. Setelah diketahui kedudukan utara, maka arah kiblat boleh ditentukan berdasarkan bezaan sudut di antara arah utara dengan arah kiblat. Untuk mengetahui arah kiblat dari mana-mana tempat di Malaysia, bukalah sudut sebesar 68° ke kiri, iaitu arah kiblat yang dikehendaki. Selain dari bintang kutub, anda juga boleh menggunakan arah selatan yang ditunjukkan oleh buruj Pari atau Salib Selatan (Crux).

Fenomena Istiwa Matahari dengan Kaabah

Arah kiblat yang tepat diperoleh apabila berlaku peristiwa istiwa matahari atas Kaabah. Istiwa adalah fenomena apabila matahari berada tepat di titik zenit sesuatu tempat ketika pelintasannya di meridian tempat berkenaan. Peristiwa ini akan berlaku dua kali dalam setahun, apabila nilai sudut istiwa matahari bersamaan dengan nilai latitud tempatan. Fenomena ini hanya berlaku bagi negeri-negeri yang latitudnya kurang dan nilai sudut istiwa maksimum matahari sebanyak 23.5°. Nilai sudut istiwa matahari bersamaan dengan 0° pada 21 Mac setiap tahun, ketika ini pelintasan matahari di meridian bagi negeri-negeri yang terletak di garisan khatulistiwa, berlaku tepat di kedudukan zenit. Berdasarkan keadaan yang sama, matahari juga akan mengalami istiwa dengan Kaabah, ketika sudut istiwa matahari sama dengan latitud Kaabah. Ketika ini, bayang objek tegak di seluruh dunia akan menunjukkan arah ke Kaabah. Fenomena ini boleh dimanfaatkan untuk menyemak dan menentukan arah kiblat.

Menurut hisab, istiwa matahari di alas Kaabah akan berlaku setiap tahun pada 28 Mei pukul 5.16 petang waktu Malaysia dan sekali lagi pada 16 Julai pukul 5.28 petang. Berdasarkan fenomena ini umat Islam di Malaysia berpeluang untuk menentukan arah kiblat dari tempat masing-masing pada masa tersebut. Oleh kerana peristiwa ini berlaku waktu petang di Malaysia, maka bayang objek yang panjang ketika ini memudahkan penentuan arah kiblat dilakukan. Berdasarkan tarikh dan waktu yang dinyatakan tadi, penentuan arah kiblat boleh dilakukan dengan panduan berikut:

- Pilih tempat yang tidak terlindung dan cahaya matahari. Pacakkan satu tiang di semak arah kiblatnya.

- Pastikan tiang tersebut tegak dan lurus. Anda boleh menyemaknya dengan menggunakan sebarang pemberat yang diikat pada hujung tiang berkenaan.

- Tepat pada masanya (jam 5.16 petang pada 28 Mei atau 5.28 petang pada 16 Julai), bayang yang ditunjukkan tiang tegak, bersamaan dengan arah kiblat. Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang tiang akan jatuh ke arah timur. Arah kiblat ialah arah yang bertentangan iaitu menghadap ke barat. Selain dari tiang yang anda pacakkan, semakan boleh juga dilakukan dengan menggunakan bayang yang ditunjukkan oleh tiang bendera, tiang lampu atau sisi-sisi rumah yang tegak.



Kesimpulan

Terdapat banyak kaedah mendapatkan arah kiblat, dan yang penting adalah semangat belajar perlu ada pada diri kita, dan kita akan menjadi sebahagian daripada mereka yang tahu, sekurang-kurangnya pada peringkat paling asas. Wajarlah jika Sheikh Daud Patani mengatakan bahawa mengetahui arah kiblat sama wajibnya dengan mengetahui fardhu wudu'.


Sumber dari Unit Falak UDM , Al Azim

Bacaan lanjut berkenaan perkembangan Astronomi semasa.

1 comments:

Salaam. Bagus2 sekali infonyaa, selamat berblog ya!!

Post a Comment